ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

Antara Dua Imam
Monday, June 4, 2018

Lama sudah jari jemari ini tidak mengetik papan keyboard ini, sudah hampir tiga bulan tidak menulis apa-apa dalam blog ini. Kali ini bukan sibuk yang menghalang, tetapi malas yang selalu hinggap dan pergi yang selalu mengganggu, menyibukkan diri menghalaunya pergi.

Aktiviti Ramadhan

Sudah separuh bulan lamanya Ramadhan bertandang untuk tahun 1439H ini... Dan berbaki kurang separuh untuk dimanfaatkan setiap detik yang ada bersamanya, mengharap ditinggalkan cendera kenangan 'lailatul qadar' buat diri ini, yang menjadi tuntutan dan perlumbaan sekalian manusia setiap kali datangnya Ramadhan menjadi tetamu tahunan kita.

Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan kedua saya di Mesir. Dan insha Allah, Syawal yang menurutinya juga adalah Syawal kedua saya di Mesir. Cuma, Ramadhan tahun ini sedikit berbeza bagi saya.

Ramadhan kali ini saya lebih lapang. Lapang untuk lakukan apa-apa aktiviti yang saya suka... dan perkara ini sangat jarang berlaku, kerana sangat maklum dikalangan pelajar Al-Azhar bahawa Ramadhan adalah musim peperiksaan akhir semester bagi penuntut ilmu di Universiti Al-Azhar Asy-Syarif.

Tetapi tahun ini saya tidak mengambil sebarang peperiksaan, oleh kerana rezeki passport saya yang hilang tahun lepas akhirnya membawa saya pulang ke Malaysia. Ceritanya panjang dan saya tidak mahu panjangkan dalam tulisan ini.

Aktiviti saya Ramadhan ini lebih kepada mengejar gol saya. Beberapa target yang saya letak sebelum Ramadhan yang saya perlu capai dalam tempoh satu bulan ini.

Untuk pengetahuan, di Mesir ini, bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat agung dan berharga, yang harganya memberi banyak kelebihan pada semua orang!
Dan bulan Ramadhan pada saya satu fasa yang sangat penting kerana dibulan ini, kelas-kelas talaqqi saya diluar (selain di universiti) tawaquf (dihentikan sementara); meraikan bulan Ramadhan dengan ibadah dan memberi laluan kepada peperiksaan yang berlangsung selama hampir sebulan.

Oleh kerana itu, syafaat Ramadhan ini sangat 'luas' pada saya sehingga jadual pengajian saya seminggu yang penuh, semuanya kosong tanpa sebarang kelas dan kuliah!
Dan pada saya ini antara rezeki dan faedah yang sangat besar dalam bulan ini. (Tanpa menafikan kesedihan dan kekosongan yang dirasakan bila lama tidak menjengah ke majlis-masjlis ilmu)

Sebulan yang lapang tanpa sebarang kelas ini membuatkan saya menyasarkan pembacaan sebagai agenda utama saya dalam menyambut bulan ini.
Bertitik tolak daripada nasihat para guru yang sering diulang-ulang menyuruh membaca dan mengulang kaji pelajaran... juga malu dengan kitab-kitab yang berada di rak buku, yang berhabuk tidak terusik, saya cuba menjadikan membaca rutin harian dan pengisi masa lapang saya.

Bertambah malu saya apabila teringat kalam al-Imam Ibnul Jauzi yang disebutkan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghudah di dalam kitabnya Qimatuz Zaman, dimana beliau menceritakan perihal diri beliau, kata beliau:

 "Aku tidak pernah kenyang dalam mutalaah (membaca dan mengkaji) kitab, apabila aku melihat sebuah kitab yang tidak pernah aku temui, seakan-akan aku telah menemui harta karun!" beliau juga pernah menyebutkan bahawa: (tidak keterlaluan) Jika aku katakan bahawa sesungguhnya aku telah muthalaah 20 ribu mujallad (kitab) bahkan lebih!" 

Dengan keinginan hati mengharap untuk mengikuti jejak para imam terdahulu, saya gagahkan diri untuk mula dan cuba membaca muqaddimah (pendahuluan) setiap kitab-kitab yang ada dalam simpanan peribadi saya untuk sepanjang bulan Ramadhan ini.

Sepanjang pembacaan saya beberapa hari ini, saya bertemu dengan pelbagai tarjamah (biodata) para ulama, pemilik-pemilik dan pengarang-pengarang kitab-kitab ini. Sebagai mana kebiasaan para ulama dalam mentahqiq kitab, mereka akan mendatangkan tarjamah ringkas mengenai pengarang kitab tersebut.
Di dalam tarjamah ini, saya membaca kisah-kisah hidup mereka, kisah-kisah mereka dalam menunutut ilmu, kesungguhan dan tekad mereka keluar rehlah (musafir ke negara orang) untuk menuntut ilmu dan hadis. Juga, pujian para ulama dan perkara-perkara lain-lain yang membuka mata saya akan keagungan ilmu, yang mana memuliakan mereka yang memelihara dan mengamalkannya.

Sepanjang itu juga, saya dapati yang paling menarik dan yang ingin saya kongsikan dalam tulisan saya kali ini ialah dua orang tokoh ulama, pemilik kitab-kitab yang sangat agung. Mereka adalah kiblat para muhaddisin dan ulama dizaman mereka, diiktiraf keilmuan mereka oleh sekalian teman dan lawan. Keagungan karya mereka dipuji ulama sezaman mereka dan kitab-kitab mereka ini menjadi rujukan semua orang yang datang selepas mereka.

Kedua tokoh ini ialah al-Imam al-Hafiz Khatib al-Baghdadi dan al-Imam al-Hafiz al-Mizzi, رحمهما الله تعالى

Pengenalan


Kedua Imam yang akan saya sebutkan kisahnya dalam tulisan saya ini mempunyai banyak persamaan dalam kehidupan mereka. Kedua mereka ialah daripada para ulama hadis (muhaddisin) yang sangat agung dan disegani, Ini dibuktikan dengan pujian para ulama yang sangat banyak dan tinggi pada mereka. Sebahagian pujian-pujian ini akan saya sebutkan nanti, tetapi cukuplah sebagai gambaran awal bahawa keilmuan dan ketokohan mereka dalam bidang hadis terutamanya tidak diragukan sama sekali.

Khatib al-Baghdadi


al-Imam al-Hafiz Khatib al-Baghdadi ialah Ahmad Bin Ali Bin Thabit Bin Ahmad Bin Mahdi, di kunyahkan dengan gelaran Abu Bakr, yang terkenal dengan nama al-Khatib al-Baghdadi. Dilahirkan di Baghdad tetapi asal keturunannya adalah daripada Arab, di mana ahli keluarganya pernah menetap di Hasasah yang terletak di Furat.

Bapanya iaitu Abu Hasan, merupakan khatib solat jumaat dan solat hari raya di sebuah kampung yang terletak berhampiran kota Baghdad bernama Darzijan, sebuah perkampungan daripada perkampungan-perkampungan kota Iraq. Pekerjaan khatib untuk solat jumaat dan solat hari raya adalah perkara yang biasa dinegara-negara Islam, bahkan ianya berterusan sehingga kehari ini.

Dan pekerjaan khatib ini pada pandangan saya, wallahua'lam, jika ingin digambarkan sama seperti pekerjaan Imam masjid ditempat kita, dimana mereka diberi gaji untuk menguruskan masjid dengan ceramah, tazkirah dan lain-lain. Kerja yang sama jugalah yang dilakukan oleh mereka yang bekerja sebagai seorang khatib dalam negara arab hari ini. Saya tidak pasti apakah ianya sama seperti yang diamalkan di Baghdad, tetapi yang pasti ianya adalah kerja bergaji yang menjadi sumber pendapatan bapa Khatib al-Baghdadi.

Dan seperti yang terzahir pada pekerjaan bapanya, gelaran Khatib pada bapanya diwarisi olehnya. Hal ini adalah kerana bapanya berkhidmat menjadi khatib dalam tempoh masa yang lama, dan dari bapanyalah berpindah gelaran ini kepada beliau.

Al-Mizzi


al-Imam al-Hafiz al-Mizzi pula atau nama penuhnya, Yusuf Ibn Zaki Abdur Rahman Bin Yusuf  Bin Ali Bin Abdul Malik Bin Ali al-Kalbi al-Qudai'y al-Mizzi. Masyhur dengan gelaran Jamaluddin. Juga diberi kunyah dengan nama Abul Hajjaj. Dilahirkan daripada keturunan yang berasal dari Arab, yang bersambung kepada kabilah Kalb al-Qudai'y yang telah lama menetap di bumi Syam. Beliau kemudiannya berpindah ke Mizzah, yang terletak di tengah-tengah kota Dimasyq (Damsyiq), yang mana dari situlah terbitnya gelaran al-Mizzi, nisbah kepada kota tempat tinggalnya.

Sebab Memilih Kedua Tokoh Ini?


Selesai kita berkenalan sedikit dengan dua Imam ini, pasti akan timbul persoalan "apakah sebab mengapa saya memilih kedua Imam ini untuk tulisan saya kali ini?"

Sebenarnya tiada sebab yang khusus atas pilhan saya ini. Tiada melainkan saya rasa terpanggil dan teringin untuk berkongsi kisah dua orang ilmuwan ini, yang pada saya sangat memberi inspirasi pada diri saya. Dimana saya dapati, keduanya punyai sedikit persamaan dengan diri saya dari beberapa sudut yang akan saya sebutkan selepas ini.

Saya juga teringat permintaan seorang saudari yang meminta untuk ditulis berkenaan perubahan dan istiqamah, Bukanlah saya ahlinya untuk menjawab soalan ini, jauh sekali untuk memberikan panduan atau tips untuk persoalan yang sangat agung ini.

Persoalan ini terlalu agung sehinggakan diriwayatkan bahawa Rasulullah, dalam riwayat yang masyhur, (dengan banyak jalan yang kesemuanya membawa maksud yang sama) baginda bersabda:

 شيبتني هودا 
Yang bermaksud: "Telah membuatkan aku beruban Surah Hud".

Dan ditambah di dalam riwayat yang lain: "Surah Hud dan saudaranya".

Para ulama ketika mensyarahkan hadis ini menyebutkan bahawa Rasulullah bersabda sebegini adalah kerana di dalam surah Hud terdapat perintah yang sangat agung, yang menjadikan Rasulullah bingung memikirkannya: iaitu ayat yang menyeru kepada istiqamah:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ

Tidaklah mampu saya menulis sesuatu yang diluar kemampuan saya, cuma sudilah kiranya saya cuba  kongsikan dalam tulisan kali ini kisah dua ulama ini dengan harapan ianya boleh membantu dalam menambah semangat dan kekuatan untuk terus kekal berubah dan istiqamah. Sesungguhnya semanya adalah dengan izin daripada Allah dan kepadaNya kita menyerahkan segala urusan kita.

Mencari Persamaan


Seperti yang telah saya sebutkan tadi bahawa kisah kedua ulama ini saya pilih atas munasabah ianya mempunyai persamaan dengan diri saya, yang saya yakin ianya juga sama dengan diri sebahagian pembaca.

Lalu datanglah persoalan, apakah persamaan tersebut?

Oleh itu, sebelum saya simpulkan persamaan yang saya dapati darpada kedua mereka dengan diri saya, sukalah kiranya saya sebutkan dahulu persamaan dua tokoh ini. Tujuannya, adalah untuk memudahkan pembaca yang tidak pernah mendengar atau mengenali kedua imam ini, dan untuk memberi ruang mencari persamaannya bagi mereka yang sudah mengenali kedua tokoh ini.

Kedua imam ini sebenarnya mempunyai banyak persamaan, samada ianya jelas dan zahir, tanpa perlu penelititan, mahupun sedikit tersembunyi dan tersirat yang memerlukan kepada pembacaan yang lebih dalam pada tarjamah kedua mereka ini.

Disini saya ingin sebutkan beberapa persamaan yang saya dapat simpulkan daripada pembacaan saya untuk kedua-dua imam ini:

1) Imam para muhaddisin

Perkara ini sudah saya sebutkan beberapa kali diatas dan tidak lagi memerlukan sebarang penjelasan lagi. Cukuplah untuk saya petik beberapa pujian para ulama dalam mengiktiraf kedudukan mereke berdua ini, antaranya:

Kata al-Hafiz Ibnu Makula (beliau merupakan murid juga sahabat Khatib al-Baghdadi):

 "Beliau merupakan tokoh terakhir yang kami saksikan pengetahuan, ketekunan, hafazan, ketelitian pada hadis Rasulullah, dan tafanun (kepelbagaiannya) dalam menguasai ilalnya serta sanad-sanadnya, dan kepakarannya dalam riwayat dan perawinya, seorang yang alim pada sahih dan gharibnya, fard dan munkarnya, yang bermasalah (padanya) dan yang ditolak (daripadanya). Tiada seorang pun daripada ahli Baghdad selepas Abi Hassan Ali Bin Umar al-Daraqutni yang sepertinya. Dan tiada pula selepasnya dari yang berdiri dalam bidang ini sepertinya. Dan kami telah mengambil manfaat yang banyak dari sekalian yang dimudahkan daripada kebaikan dengannya daripadanya..."

Begitu juga pujian yang sangat agung disebutkan kepada al-Imam al-Mizzi seperti yang disebutkan oleh al-Hafiz az-Zahabi (beliau merupakan murid juga teman al-Mizzi):

"Beliau merupakan penutup sekalian huffaz (para hafiz Hadis), naqid (pengkritik yang mahir) pada sanad-sanad dan lafaznya, dan beliau adalah rujukan (pada) kesusahan kami, dan penerang kepada kemusykilan kami... Tidak pernah aku temukan seorang dalam bidang ini (hadis) yang lebih kuat hafazannya daripada al-Imam Abil Hajjaj al-Mizzi"

Cukuplah kedua pujian mereka yang merupakan murid juga teman seperjuangan kedua imam ini, menyaksikan ketinggian martabat kedua imam yang agung ini!

2) Pemilik kepada kitab yang agung dalam ilmu hadis.

Bagi yang belum mengetahui, kedua imam ini bukan sahaja sangat hebat dan handal dalam bidang hadis, bahkan mereka juga adalah pemilik kepada karya-karya masterpiece yang sangat agung, yang tidak dapat ditandingi keagungannya sehingga kezaman kita hari ini!

al-Imam Khatib al-Baghdadi merupakan pemilik kepada karya ulung yang menceritakan tentang setiap orang yang pernah meriwayatkan hadis di dalam kota Baghdad yang berjudul: Tarikh Baghdad. Kitab setebal 17 jilid ditahqiq oleh Syeikh Dr. Basyar Awwad Ma'ruf ini boleh didapati di kedai-kedai buku hari ini.

Tarikh Madinatus Salam (Tarikh Baghdad)


al-Imam al-Mizzi pula merupakan pemilik kepada karya yang sangat terkenal dalam Ilmu Rijal (Ilmu yang mengkaji perawi dan kedudukan mereka dalam neraca hadis) iaitu kitab Tahzib al-Kamal yang dicetak dalam 35 jilid dibawah tahqiq Syeikh Dr. Basyar Awwad Ma'ruf. Beliau juga merupakan pemilik kepada kitab Tuhfatul Asyraf yang menjadi sumber penting untuk mentakhrij hadis kutub sittah.

Tahzib al-Kamal Fi Asma' ar-Rijal

Tuhfatul Asyraf bi Ma'rifatil Atraf

Karya mereka ini bukan sekadar dikenali dizaman mereka, bahkan menjadi sumber rujukan sehingga kezaman kita hari ini. Terlalu banyak pujian para ulama pada karya mereka yang mana tidak perlu saya sebutkan disini. Cukuplah untuk kita simpulkan bahawa tiada yang datang selepas mereka melainkan mereka pasti akan membaca dan merujuk kitab dan karya kedua imam besar ini.

Dua persamaan diatas ini adalah persamaan yang zahir.
Adapun persamaan yang tersirat, yang ingin saya fokuskan disini adalah:

3) Asal mereka.

Pasti anda tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan asal mereka, kerana sudah saya sebutkan asal keduanya diawal tulisan ini. Lalu apakah ia?

Jadi, yang saya maksudkan sebagai asal disini adalah asal pendidikan keluarga mereka, atau lebih masyhur dalam istilah kita hari ini sebagai background family mereka.

Di sini ingin saya kongsikan bahawa kedua imam ini, bukanlah daripada asal keturunan keluarga yang berlatar belakangkan agama. Ya, yang saya maksudkan disini adalah, keluarga mereka bukanlah keluarga yang terkenal daripada keluarga pada ulama atau ayah atau kedua ibu dan bapa mereka merupakan tokoh para ulama.

Tidak!

Bahkan mereka cumalah berlatar belakangkan dari asal keluarga biasa, dan ini sangat berbeza dengan kebanyakan ulama yang lain sezaman mereka, dimana asal mereka adalah daripada latar belakang ulama dan fuqaha yang terkenal dizaman tersebut.

Kata Imam as-Subki di dalam Tobaqatnya:

"Dan adalah bapa Khatib al-Baghdadi, Abu Hassan Ali kecenderungan pada ilmu."

Kata Syeikh Dr. Mahmud Tohhan dalam menerangkan perihal al-Imam Khatib di dalam muqaddimah tahqiqnya pada kitab Jami' li Akhlaq ar-Rawi Wa Adab as-Sami:

"Oleh kerana itu, al-Khatib (al-Baghdadi) tidak menyifatkan bapanya daripada ulama, adapun beliau menyifatkannya daripada kalangan huffaz al-Quran (penghafaz al-Quran), (demikian) telah beliau sebutkan di dalam tarjamah bapanya di dalam Tarikh Baghdad: "... Beliau merupakan salah seorang huffaz al-Quran, telah membaca al-Quran pada Abi Hafs al-Kittani dan telah menjawat (jawatan) imam dan khatib di atas mimbar Darzijan selama hampir 20 tahun."

Begitu juga halnya dengan al-Imam al-Mizzi. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar:

"Dan jikalau sekiranya disisinya (al-Mizzi) seseorang yang mendengarkannya sewaktu beliau kecil, nescaya beliau sudah mendengar daripada Ibnu Abd ad-Daim, al-Kirmaniyy dan selain mereka, akan tetapi beliau menuntut (hadis) dengan (dirinya) sendiri pada awal tahun 75 (iaitu 675H)."

Kata Syeikh Dr. Basyar di dalam muqaddimah Tahzib al-Kamal ketika menceritakan perihal keluarga al-Mizzi seperti berikut:

"Dan telah membaca Yusuf (al-Mizzi) al-Quran dan beberapa perkara daripada fiqh. Akan tetapi keluarganya, pada apa yang terzahir, tidak mengambil perhatian yang penuh padanya, dan tidak mendorongnya kepada menuntut ilmu hadis, semenjak waktu kecilnya sepertimana yang dilakukan ahli keluarga temannya dan muridnya, al-Imam az-Zahabi. Dan kelihatan bahawa keluarganya tidaklah dikenali daripada keluarga yang terkenal dengan ilmu dan menuntut (ilmu). Dan tidaklah bapanya daripada sekalian ulama yang terkenal..."

Disini dapatlah kita simpulkan bahawa kedua mereka sangat mirip dalam ketiga-tiga aspek yang saya sebutkan tadi. Dan disini jugalah saya simpulkan bahawa kedua imam ini juga punyai persamaan dengan saya. Ini kerana saya bukanlah berasal daripada keluarga yang berlatar belakangkan pendidikan agama. Ibu saya merupakan guru bahasa Melayu dan bapa saya merupakan seorang jurutera yang kini bekerja sebagai seorang peniaga. Saya juga bukanlah daripada keluarga yang terkenal dengan ilmu mahupun terlibat dengan ilmu secara langsung, melainkan cumalah ibu dan datuk saya seorang guru, tetapi bukanlah guru didalam bidang agama. Saya hanya mula meminati bidang agama apabila saya dibangku sekolah menengah. Saya direzekikan menjejak kaki ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, yang kemudian mendedahkan saya kepada Islam, ilmu dan para ulamanya.

Persamaan lain yang saya dapati juga ialah saya juga sangat meminati ilmu hadis dan cabangnya, sepertimana kedua Imam ini, yang merupakan imam besar dalam bidang ini. Oleh itu, saya sangat terkesan dan dapat merasakan seolah-olah sinaran harapan itu masih terang dan jelas untuk saya mengikuti mereka berdua dan bercita-cita menjadi seperti mereka.

Bukan Alasan

Saya yakin pembaca juga menemui sebahagian persamaan ini pada diri mereka. Lihatlah contoh mereka ini!

Latar belakang mereka tidak menjadi penghalang untuk mereka berjaya. Ia tidak menjadi alasan untuk mereka mengalah. Mereka tidak mengeluh kerana tidak dilahirkan dalam keluarga para ulama yang terkenal dengan ilmu dan semisalnya. Bahkan, mereka buktikan pada kita dan sekalian manusia bahawa latar belakang tidak mencorakkan manusia, tetapi dirinya yang memilih dan dialah yang mencorakkannya. Sehingga akhirnya mereka menjadi para ulama yang disegani, bahkan mereka juga disegani oleh mereka yang dilahirkan dalam latar belakang yang jauh berbeza dengan latar belakang kedua imam ini.

Mungkin akan ada yang berkata, jika dilihat di sini, al-Imam Khatib sendiri bapanya merupakan seorang penghafaz Al-Quran, begitu juga al-Mizzi sudah diedahkan dengan Al-Quran sejak dari kecil. Maka, tidak hairanlah mereka menjadi seperti itu, berbeza dengan kita...

Saya katakan: Ya mereka sudah didedahkan dengan Al-Quran semenjak dari kecil dan itu satu kelebihan buat mereka. Tetapi, tahukah kamu satu perkara, sekiranya kamu yang tidak punyai kelebihan semacam mereka ini (dikenalkan dengan Al-Quran sejak dari kecil), tetapi kamu punyai kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik, pastinya Allah akan memberikan ganjaran dan hasil yang lebih besar daripada apa yang diperolehi kedua imam ini. Hanyalah jika kamu sedari perkara ini, kamu akan bersyukur.

Dan sebenarnya ramai lagi tokoh yang seperti mereka, yang menjadi hujah keatas kita. Mengapa mereka boleh dan kita tidak boleh. Kita boleh datangkan seribu satu hujah dan alasan untuk tidak menjadi seperti mereka, tetapi kita cuma perlukan satu hujah untuk meyakinkan diri kita, bahawa semua itu tidak mustahil, dan dihadapan kita sudah ada yang mendahului kita, menunjukkan jalan dan contoh untuk kita ikuti dan teladani.

Penutup


Sebagai penutup, saya sertakan sedikit pujian dan sifat yang digambarkan para ulama pada al-Khatib yang boleh kita contohi, melengkapkan faedah yang boleh kita dapati daripada mereka berdua:

Diriwayatkan bahawa al-Khatib al-Baghdadi merupakan seorang yang sangat banyak membaca Al-Quran. Kata Syeikh Dr. Mahmud Tohhan:

"Bahawa beliau tidak meninggalkan suatu masa pun berlalu melainkan beliau mengisinya dengan membaca al-Quran. Dan telah pun kita sebutkan bahawa beliau telah membaca Al-Quran dalam perjalannya menunaikan haji, pada setiap sehari semalam, satu kali khatam dengan bacaan yang tartil, begitu juga halnya yang dilakukan pada perjalanannya dari Damsyiq ke Baghdad."

Juga diriwayatkan bahawa beliau sangat tawadhu' dan wara' dalam urusan hariannya. Sehinggakan dengan ketiggian ilmu dan kemahiran beliau dalam hadis, beliau tidak menggelarkan dirinya al-Hafiz, bahkan ketika orang lain menggelarnya al-Hafiz, beliau menjawab:

"Telah terhenti gelaran al-Hafiz pada ad-Daraqutni. Aku ialah Ahmad Bin Ali Bin Thabit al-Khatib"
Semoga Allah taala mengurniakan kita kekuatan untuk mencontohi mereka, dan mengurniakan kita ilmu dan amal. Amin ya Allah.

Dhuha, 8.02 pagi,
5 Jun 2018,
Kota Kaherah al-Muizz
Bumi Kinanah tercinta, Mesir.

0 comment[s] | back to top