ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

“Imam Kabir”
Wednesday, September 13, 2017

Suatu pagi setelah beberapa kali perancangan yang setiap kalinya berakhir dengan 'tidak jadi', Allah rezekikan saya dan dua orang sahabat saya menziarahi Maqam para awliya' yang berdekatan dengan tempat tinggal kami, di kawasan Hussein.

Sememangnya maklum, Bumi Mesir ini sangat masyhur dengan para awliya' dan ulama bahkan jika bukan kerana jasad mereka yang berada di dalam tanah ini, masakan Bumi ini berterusan menjadi kiblat ilmu Islam selepas hampir lebih 1000 tahun.

Ziarah Pertama Saya

Cerita asalnya lama sudah saya dan kawan-kawan berniat mahu menziarahi Maqam para awliya' dan solihin di Mesir ini. Tetapi atas kekangan bahasa dan beberapa masalah lain, selepas setahun berlalu, Allah izinkan juga saya menziarahi para ulama dan awliya' di sini walaupun pertama kali saya menziarahi mereka adalah sewaktu Ramadhan dan kami berpuasa.

Memang penat sungguh berjalan beberapa kilometer, menziarahi lebih 15 maqam, tetapi itulah kewajipan yang sepatutnya saya buat dari awal saya datang ke Mesir lagi.

Alhamdulillah selepas ziarah saya yang pertama itu, lebih kurang sebulan lebih selepas itu, saya menyahut ajakkan kawan-kawan untuk menziarahi Maqam. Oleh kerana saya sudah pernah pergi dan mereka tidak ikut sama, maka mereka mengharap sungguh untuk kami berziarah bersama-sama.

Begitulah kami berazam hampir seminggu, jikalau ada masa lapang kami ingin pergi bersama. Sehinggalah akhirnya, kelas yang kami ikuti berakhir dan kitab berjaya kami tamatkan. Akhirnya nekad dah, ini rezeki! esok kita pergi sama-sama.

Ziarah Pertama ke Maqam Imam Ibnu Hajar

Ziarah Kedua

Esoknya selepas sedikit terlewat dari perancangan asal akhirnya kami bertolak pergi ke Sayyidah A'isyah (nama tempat) dari rumah. Dipendekkan cerita sampailah kami ke Maqam al-Imam asy-Syafie رحمه الله di Masjid beliau. 

Walaupun sedang dalam penambah baikkan, sempatlah kami melambai dari kejauhan dan terus berjalan ke Maqam imam yang lain.
Kami sempat berziarah ke Maqam Sayyidah Fatimah al-Aina', Maqam Abu Dzar al-Ghifari, Sayyidah Ummi Kalthum, Imam Laith dan anak beliau, Syeikhul Islam Imam Zakaria al-Ansori dan beberapa lagi Maqam lain.

Nak dijadikan cerita, kami singgah disebuah kedai runcit; membeli sebotol Pepsi dan Air Mineral untuk meredakan haus selepas jauh berjalan.  Selepas habis membeli, kami sambung berjalan semula. Kali ini matlamat kami hendak ke Maqam al-Imam Amirul Mukminin fi Hadis, Ibnu Hajar al-Asqalani رحمه الله.

Di Balik Timbunan Pasir

Saya sengaja mengecek sahabat kedua sahabat saya ini, yang pertama kali menziarahi Maqam para awliya' di sini.

Saya berkata: “Lepas ni dalam beberapa kilometer kita sampai lah Maqam Ibnu Hajar.”


Tambah saya: “Korang mesti takkan sangka punya Maqam Ibnu Hajar yang mana satu...


Kami pun terus berjalan sehingga tiba di sebuah jalan lurus selepas melalui kandang kambing biri-biri ‘asyan Eid’ yang dibina ditengah-tengah jalan.

Untuk pengetahuan orang Arab Mesir memang akan membina kandang apabila hari raya Aidil Adha mendekat dan termasuk ianya tidak terkecuali di kawasan kubur! Saya sendiri kurang faham kenapa ianya juga ada di kawasan kubur, tetapi mengikut uruf mereka, memang kubur mereka dijadikan tempat tinggal oleh sebahagian orang Mesir, terutama yang miskin kerana tidak mampu untuk menyewa rumah. 

Mungkin sebab itu mereka adakan kandang juga di kawasan kubur, agar yang tinggal di kawasan kubur juga boleh berkorban.

Kami terus berjalan dan kemudiannya saya mengajak kawan-kawan meneka yang mana satukah Maqam al-Imam Ibnu Hajar, ulama hadis yang sangat masyhur ini.

Untuk pengetahuan al-Imam Ibnu Hajar رحمه الله adalah muhaddis besar yang menjadi rujukan hampir semua ulama hadis. Bahkan karyanya Fathul Bari syarahan pada Sahih al-Bukhari diiktiraf sebagai kitab terbaik yang mensyarahkan Sahih Imam al-Bukhari, dan Sohih Imam al-Bukhari pula adalah kitab tersahih selepas al-Quran

Ini sebagaimana yang disebutkan al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi رحمه الله dalam Alfiyah Fi Ulum al-Hadis:

وليس في الكتب أصحُ منهما * بعد القرانِ ولهذا قُدِّما

Yang bermaksud: "Dan tiada kitab yang lebih sahih dari mereka berdua (Bukhari dan Muslim), selepas al-Quran, oleh kerana itulah mereka di dahulukan (dari kitab yang lainnya)."


Martabat apa yang lebih mulia dari menjadi syarahan yang terbaik (Fathul Bari), pada kitab yang terbaik (Sahih Bukhari) yang mensyarahkan kitab yang agung (Al-Quran)!



Mereka meneka beberapa maqam yang tidak saya ketahui sehingga kami lalu kesebelas Maqam al-Imam. Saya sengaja melajakkan jalan sambil mereka terus meneka.

Akhirnya seorang sahabat saya menunjuk ke arah Maqam Imam dan kami pun kemudiannya mendekatinya.

Keduanya terkejut, sebagaimana saya semasa pertama kali datang dulu terkejut. Maqam Imam yang sangat alim itu sangat teruk keadaannya. 

Pintunya ditutup dengan batu bata. Katanya dahulu ianya dibuka tapi bimbang ianya roboh, maka ianya disemen dan ditutup dengan batu bata. Di atas ruangan pintu itu, terdapat tulisan seakan ukiran kecil membentuk tulisan bahasa arab yang bermaksud 'Ini Maqam Ibnu Hajar Al-Asqalani.'

Saya sewaktu pertama kali melihat maqam ini terasa sangat sebak. Bagaimana Imam yang sangat besar sumbangannya dalam dunia Islam, maqamnya tidak sedikitpun dijaga, bahkan ditutup dan tidak memungkinkan sesiapapun untuk menziarahinya. Sangat menyayat hati...

...

Selepas saya meluahkan rasa sedih di hati pada kedua sahabat saya ini, kami kemudiannya berpusing keliling maqam, mencari ruangan yang boleh kami pijak untuk kami panjat masuk. Dikatakan ianya adalah perbuatan terlarang tetapi sudah pastinya tidak seronok dan tidak puas akan hati jika yang kami mampu cuma mengusap batu simen di pintu Imam. Kami sudah berniat untuk menziarahi beliau dan membaca sedikit karya beliau.

Kami berpusing dan akhirnya terjumpa di sebalik batu-batuan keliling maqam tersebut, lubang yang rendah, yang boleh sahaja kalau kami panjat sedikit untuk masuk ke dalam kawasan Maqam Imam. 

Oleh kerana hati yang berani bercampur takut, kami melihat-lihat juga 'line'; kalau-kalau ada arab yang nampak nanti, susah pulak jadinya.

Kebetulan dari kejauhan ada dua orang budak lelaki arab, mereka saya rasakan dari tadi memerhatikan gelagat kami. Mereka berdua kemudiannya hilang dan kami hampir sahaja ingin memanjat masuk. Tiba-tiba si budak kecil Arab itu datang dan pergi ke sebuah grill lalu membuka grill tersebut dengan kunci. Dia pun menjemput kami masuk. Saya yang masih terkejut bercampur curiga menerima pelawaan budak kecil ini dan masuk ke dalam. Rupanya ruangan dari grill itu bersambung ke Maqam al-Imam Ibnu Hajar. 

Kami pun seronok sungguh waktu itu dapat juga masuk tanpa perlu panjat!




Menziarahi al-Imam


Selepas membaca al-Fatihah dan Ayatul Qursi, saya mencari kain yang pernah kami gunakan untuk duduk di sebelah Maqam Imam, sewaktu kali pertama ziarah saya. Ianya masih ditempat akhir yang kami letakkan, cuma, biasalah berhabuk dan berdebu pasir. Kami kemudian mengibaskan debunya dan menghamparkan alas ini.

Dari jauh budak lelaki tadi memerhatikan kami, dengan kawannya yang seorang lagi, datang bersama dia semula.

Saya mengeluarkan matan kecil yang saya bawa dan kami pun bergilir membaca matan Nukhbatul Fikar yang ditulis pemilik Maqam, al-Imam Ibnu Hajar sendiri. Memang itu adat yang sering dilakukan para ulama, mereka akan menziarahi Maqam dan membacakan karya penulis atau membacakan puji-pujian atau bait syair yang memuji pemilik Maqam. Kami juga tidak terkecuali mahu mengikuti amalan yang dilakukan para ulama dahulu.

Sedang kami bergilir membaca, saya sekali sekala memerhatikan gelagat dua orang budak ini. Sambil bersembang berhampiran pagar, mereka duduk seolah menunggu kami.


Saya berbisik di dalam hati, “Kalau sungguh mereka nak tunggu, memang lama lagi lah gamaknya




Selepas hampir 10 minit, akhirnya kami sudah di akhir-akhir matan, budak ini pula dari duduk sudah masuk ke dalam Maqam dan berpusing-pusing mengelilingi Maqam. Seolah menunggu sesuatu.

Akhirnya di pengakhiran matan, saya panggil budak kecil ini untuk duduk bersama kami. Dia mendekati kami dan kemudian duduk di atas Maqam Imam. 

Saya terkejut bercampur marah.

Tetapi, nak buat macam mana, kain hamparan kami itu hanya muat untuk kami bertiga. Budak ini pun terus duduk di atas Maqam dan berhadapan dengan kami.

Tiba giliran saya untuk menamatkan beberapa perenggan yang akhir, saya tamatkan Nukhbah dan saya kemudian terus bacakan pula  Syair Qasb as-Sukkar yang ditulis oleh al-Imam al-Hafiz as-Sonaani رحمه الله.

Bait syair yang ditulis Imam as-Sonaani ini khas sebagai tanda cinta beliau pada matan Nukhbatul Fikar al-Imam Ibnu Hajar. Beliau mengarang semula Nukhbatul Fikar dalam bentuk bait syair. Kata al-Imam as-Sonani, kerana taaluq dan rasa cinta beliau pada matan Nukhbatul Fikar yang ditulis Imam Ibnu Hajar, akhirnya beliau menulis matan Nukhbatul Fikar menjadi bait-bait syair.

Saya pun meneruskan bacaan.

Oleh kerana budak lelaki ini tidak tahu bahasa arab fushah, dia terus menunggu. Sekejap duduk dengan kami, sekejap lagi pula duduk semula disebelah kawannya.  Begitulah sehingga selepas hampir 20 minit kami bergilir membaca syair Qasb as-Sukkar, budak ini datang semula dihadapan kami, duduk semula di atas Maqam dan memberi isyarat agar kami cepat sedikit.


Saya kemudian berkata kepada dia: “Kau reti membaca bahasa arab?


Di balik hati saya, saya mengharap agar dapat mengajak dia bersama kami membaca bait syair ini di hadapan Imam Ibnu Hajar.

Budak ini menggeleng kepala dan terus membuat isyarat, menyuruh kami cepat.

Kami terus membaca sehingga akhir bait dan kami tutupkan bacaan kami dengan doa bersama-sama.

Kami kemudiannya berdiri dan melipat semula alas tadi dan bergerak ke grill tadi untuk beransur pulang.



Genih


Saya merupakan orang yang terakhir keluar dari grill tadi. Kemudian saya terasa tangan saya ditarik. Saya menoleh. Rupanya budak tadi yang menariknya seraya berkata : “bagi aku genih” (genih adalah mata wang Mesir)


Saya pun berpusing dan saya membalasnya dengan berkata, “kenapa kau nak genih?


Kemudian dia menjawab: “yelah nanti aku nak buat apa-apa kat sini...” sambil menoleh kepalanya ke arah Maqam al-Imam Ibnu Hajar.


Saya membalas, menyuarakan kesedihan hati saya pada dia: “Hah! tulah korang, orang Mesir. Maqam-maqam awliya' ulama ni korang tinggalkan je macam takde apa-apa


Saya kemudian bertanya pada dia: “Sebelum tu, kau tahu tak yang kita duduk tadi tu Maqam siapa?


Tahu, Ibnu Hajar


Siapa dia Ibnu Hajar tu?


“Alim kibar


“Alim kibar....???” 


Sambil saya membuat isyarat pada badan kawan saya. Alim... Kibar... 

Sengaja saya bergurau, budak lagi, takut dia ingat kita marah dia pulak.


Dia ni alim jugak, dan dia ni kibar jugak” maklumlah kawan saya ni berisi sikit.

Kami sama-sama gelak.

Selepas itu saya sambung semula: 


Ibnu Hajar ni Muhaddis besar. Dia Amirul mukminin dalam Hadis. Cuba kau tengok, ini Maqam imam besar, ini pulak, cuba kau tengok, sampah besar” sambil saya menunjuk ke arah timbunan sampah di hadapan Maqam Imam, yang saya percaya sungguh ianya tiada semasa kali pertama saya sampai ke situ.

Macam mana 'alim kibar' (alim besar) boleh ada depannya 'zibalah kibar' (sampah besar)?


Kebetulan selepas saya katakan itu, datang sebuah motor mengangkat barang, dinaiki sorang budak kecil Arab dan seorang dewasa mungkin abangnya membuang sampah di situ. 

Budak dari motor itu kemudian menyapa budak kecil tersebut.

Budak itu tersipu-sipu malu.

Dan ditakdirkan Allah, mahu tunjukkan pada kami, selepas mereka membuang sampah di timbunan sampah itu, budak kecil itu kemudian membaling sampah (seingat saya botol) ke udara dan balingannya itu masuk tepat ke dalam Maqam Imam Ibnu Hajar.

Saya melihatnya sendiri dengan mata saya dan budak ini juga melihatnya. Lagi bertambah malu budak ini dengan sikap kaumnya dan adab yang mereka tunjukkan pada 'alim kibar' yang disebut-sebutnya tadi...


Kata sahabat saya, muka budak itu berubah selepas itu. Mungkin malu dan terasa dengan kata-kata saya tadi. Mungkin juga malu dengan sikap kaumnya sendiri.. 

Mungkin silap saya juga, marah tak kena tempat... Tetapi saya sendiri pun tak tahu nak kata apa, lama dah terbuku di hati... Sekali sekala nak juga saya lepaskan kekesalan saya pada sikap orang Mesir. Kebetulan budak ini pula jadi mangsa. Huhu..


Kalau aku bagi kau duit, apa akan jadi pada Maqam ni? Ada orang nak jaga ke? Aku tak percaya korang kata nak jaga Maqam ni. Korang nak duit je. Bukan nak jaga Maqam imam ni pun” 

Tambah saya.

Budak ni terus senyap. Abangnya yang seorang lagi dari tadi duduk jauh. Tak berani nak dekat mungkin. Sebelum itu, budak kecil ini ada menyebut abangnya tahu fushah (bahasa arab rasmi) mungkin dia tahu kalau dia ditempat adiknya, lagi habis saya ceramah.


Selepas senyap seketika, budak ini masih memberanikan dirinya meminta genih. Saya yang sudah membelakanginya mahu pergi, menoleh semula dan saya katakan pada dia.


Baik. Aku boleh bagi genih, dengan satu syarat. Kalau kau boleh jawab soalan aku betul, aku bagi kau genih.

Abangnya yang dari jauh itupun datang dekat. 

Mungkin sebab dia terdengar perkataan genih. 

Hmm. Mungkin.


Soalannya, bila Imam Ibnu Hajar, pemilik Maqam ni, wafat?


Budak ini dengan segera meneka, “500H” 

Saya pun terusan menggeleng, abangnya pula meneka “853H” katanya.

Saya kata: 

Salah. Dekat dah jawapan tu...


800


850

Mereka terus meneka dan saya terus menggeleng. 

Akhirnya saya berkata:


Baik. Korang tak tahu pun. Walaupun korang yang jaga Maqam ni, kau tak ambil tahu pun siapa dia pemilik Maqam ni. Yang korang tahu nak ambil duit je dari Maqam ni. Aku memang nak bagi korang genih, tapi dengan tarikh meninggal pemilik Maqam yang ada tertulis dalam Maqam tu pun korang tak tahu, aku tak tahu apa akan jadi kat genih aku kalau aku bagi korang

Saya pun membelakangi mereka dan terus bernasur pergi dari situ. Sungguh saya kecewa dalam gembira. Gembira kerana direzekikan Allah untuk menziarahi Maqam Imam yang sangat saya kagumi, tetapi saya sedikit kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku.


Saya terkadang berfikir dan bersyukur. 

Bersyukur kepada Allah walaupun di negara kita Malaysia, tidaklah banyak Maqam para Auliya dan ulama yang boleh diziarahi, tetapi orang kita, sangat menjaga dan memuliakan maqam-maqam ini. Bahkan mereka dimuliakan sebagaimana seakan-akan mereka masih hidup dan itulah yang sepatutnya dilakukan.

Berbeza dengan Mesir yang sangat terkenal dengan Maqam awliya' dan solihin, tetapi adab dan akhlak mereka terhadap maqam-maqam ini sangat mendukacitakan. Mudahan Allah beri hidayah dan kesedaran pada mereka untuk memuliakan para Auliya dan para solihin.

Insha Allah.

Lama tidak menulis, sengaja menulis sikit, mudahan ada manfaat dari tulisan ini.

Barakallahufikum.

Inilah maqam yang saya katakan dihadapnnya longgokan sampah. Gambar ini diambil dihari lain, selepas sebulan dari tarikh peristiwa ni berlaku. Sampah tu berkurang sikit. Maqam imam adalah disebelah kiri gambar yang beropol sedikit itu.



Al-Faqir ,
23:33, 13/9/2017
Saidina Husein,
Kaherah,
Bumi Awliya', Mesir.

0 comment[s] | back to top