ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

Pasca Muktamar; Pra Muhasabah, Pra Perubahan
Wednesday, September 23, 2015

بسم الله الرحمان الرحيم

Hari ni setelah sekian lama akhirnya Allah beri juga kesempatan untuk tulis entry ni. Tidak menulis bukan bermakna tuan punya blog ini sudah mati, tetapi terlalu tebal dugaan dan cabaran di Bumi Waqafan itu, yang akhirnya melarikan diri dari terus beristiqamah menulis dan terusan menulis, sebagaimana yang pernah diwawasankan diri ini dulu...

بسم الله ما شاء الله، الحمدلله ما شاء الله، ما شاء الله كان، وما لم يشاء لم يكن، ولا حول ولا قوة إلا بقرته وإرادته

  Bukan sedikit perkara yang berlaku sepanjang hampir setahun menjadi super senior di Bumi Waqafan ni. Tentu sekali banyak ceritanya, tapi teringat pesan seorang ulama, (lebih kurang gini):

 "Bila kita mendengar dari seseorang, maka catatkanlah seberapa banyak yang kita mampu, apabila kita menyampaikan, maka sampaikanlah yang mana yang perlu, kerana sesiapa yang menyampaikan semua dari apa yang dia dengari maka dia adalah pendusta"
  Maka cukuplah apa yang perlu kita sampaikan atas kudrat orang yang mendengarnya, seperti mana yang Rasulullah pesan dalam hadis baginda;

"كلم الناس على قدرة عقولهم"
Maksudnya: "Sampaikanlah kepada manusia atas kemampuan akal mereka"
 ***

  Pada saat ini, kami sudah berada di fasa akhir kepimpinan, memandangkan exam-exam besar serupa SPM, STPM dan STAM juga sudah semakin hampir, maka sesi melepaskan jawatan dan pertukaran pimpinan juga berlaku. Begitu jugalah apa yang berlaku dalam Badan Dakwah Dan Rohani (BADAR). Kami sudahpun selesai melaksanakan Muktamar Sanawi Badan Dakwah Dan Rohani Kali Ke-34 untuk tahun 2015 pada 17 September yang lalu. Alhamdulillah.

  Alhamdulillah, muktamar berjaya dilangsungkan dengan jayanya walaupun dalam keadaan persediaan yang serba kekurangan. Muktamar tahun ini berlaku dalam 4 ke 5 hari selepas satu acara besar yang dianjurkan oleh BADAR juga, iaitu MANIS ataupun Malam Aspirasi Kesenian Islam 2015 yang melibatkan Kisas dan Kampung Jawa bersama.


  Muktamar berseri dengan dipengerusikan oleh Al-Fadhil Ustaz Azrul Sham hfz. dan berjaya dipengerusikan dengan baik. Sejujurnya muktamar kali ini tidaklah sepanas muktamar yang sudah, walaupun kami sedikit berharap ianya sepanas Muktamar 61 Kuala Selangor (kalau faham apa yang dimaksudkan)

Di sini mulanya kita nak cerita yang berkaitan dengan tajuk entry ni...

  Sewaktu sesi masalah berbangkit, satu isu yang tidak kurang menarik yang dibentangkan oleh seorang pemerhati muktamar dari generasi 60, tingkatan 5. Ianya berkaitan tarbiyyah dan keabsahan tarbiyyah pada pelajar tingkatan 5. Dan kewujudan tarbiyyah untuk pelajar tingkatan 5 bukan 4 sahaja. (Maaf sebab tak ingat sangat soalannya, cuma mafhumnya seperti itu)

  Mungkin tidak salah jika kita renungkan kembali falsafah tarbiyyah yang kita jaja-jajakan namanya. Apa yang sepatutnya kita faham tentang tarbiyyah.

  Bila bicara soal tarbiyyah, maka sentiasa selamanya tarbiyyah itu berbeza dengan ta'alim sebagaimana yang disebut sahabat Presiden Badar. Di sini kita kupas sedikit, mudah-mudahan Allah fahamkan kita akan intipati yng ingin disampaikan mantan presiden.

Differentiation of Tarbiyyah and Taalim


Pernah belajar matematik?

  Bagaimana kita belajar matematik, semestinya dengan bimbingan seorang guru dan kalkulator. Bukan sesi pembelajaran kita kata jikalau guru tidak bersama kita. Dan peranan guru itu pasti dan pasti akan membetulkan salah kita dan secara tidak langsung guru itu juga menjadikan kita sebagai kayu ukur sejauh mana penerangan yang beliau berikan difahami oleh murid beliau, semisal seorang guru menjadikan muridnya sebagai KPI (key-performance index) untuk menambah baik pengajarannya.

  Maka di sini berlaku dua hubungan (two-ways relation) antara guru dan murid, maka disini juga berlaku sesi pembelajaran atau yang kita kenal sebagai 'taalim' iaitu murid bergurukan guru dan guru memerlukan murid. Maka fahamlah kita bahawa taalim ini berlaku dalam satu sesi bila mana ada guru dan ada murid, sebab keduanya saling memerlukan.

  Seterusnya kita bergerak pada apa yang dimaksudkan dengan tarbiyyah. Tarbiyyah akan sentiasa berbeza dengan taalim sepertimana yang kita sebutkan sebelum ini. Bila kita bicara soal tarbiyyah maka tarbiyyah itu tidak lari dari satu proses, yang mana proses itu memerlukan bahan (input) dan menghasilkan bahan (output). Jadi bukanlah dinamakan tarbiyyah hal yang tidak berlaku proses yang berlaku dengan input yang menghsilkan output.

Kacang



  Sebagaimana yang pernah saya coretkan dahulu, dalam satu status di FB berkenaan suatu perbincangan kami di dalam usrah berkenaan tarbiyyah dan kacang;

Aku teringat suatu perbincangan tika usrah dahulu...
Kami sedang makan kacang sehingga kami ditanya naqib,
" Kenapa kacang ini lain bentuknya? Walaupun prosesnya sama? "
Kami hampir membuka medan debat dgn masing-masing membentangkan hujah masing-masing..
Lalu akhirnya kami disentuh dengan kacang yang disamakan naqib kami dengan produk tarbiyyah
Kata beliau:
" Tarbiyyah itu diibaratkan sebagai suatu kilang. Kilang yang memproses kacang. Kita percaya bahawa setiap kali proses untuk mencipta kacang, semua 'kacang mentah' akan melalui proses yang sama.
Kesemua kacang akan dibakar dan melalui beberapa proses lagi sehingga akhirnya menjadi kacang yang boleh dimakan.
Tetapi perasan atau tidak, walaupun kacang-kacang ini melalui proses yang sama, bentuk kacang tu tak pernah sama. walaupun cuma bentuk, tetap berbeza.
bagaimana suatu proses yang sama, tidak pernah terlepas satu proses pun tetapi natijah hasilnya masih tidak mampu sama."
Masya Allah!
inilah uniknya ciptaan Allah. kalau semuanya sama maka tiadalah lagi uniknya ciptaan Allah. andai semua sama tiadalah lagi keindahan pada susunan Khaliq ini.
Ia hakikatnya bukan persoalan tarbiyyah atau kilang itu yang menjadikan mutarabbi (orang yang ditarbiyyah) atau kacang itu berbentuk yang pelbagai..
tetapi persoalan kacang itu sendiri sebagai yang diproses itu, bagaimana kuatnya kacang itu dan bagaimana kacang itu bertindak balas bila dia diproses
ada kacang yang berjaya dan akhirnya menjadi makanan sewaktu kita sedang menonton televisyen dan lain-lain waktu. dan kacang ini memberi manfaat.
adapun ada kacang lain yang hangus dan pahit yang mungkin kurang memberi manfaat pada manusia tetapi masih bermanfaat untuk makhluk lain.
Adapun begitulah tarbiyyah. bukan sistem tarbiyyah itu yang perlu sentiasa kita salahkan. terkadang sistem itu sudah betul, tetapi reaksi mutarabbi dan cara mereka menerima itu yang membezakan hasil atau 'kacang' tarbiyyah itu.
Kami sekadar berdiam dan lama berfikir dan bermuhasabah... (FB)

  Maka tarbiyyah itu, ia akan menghasilkan output yang mana output itu pastinya akan berbeza walaupun proses yang dilalui sama.

  Maka kita tidak pelik jika orang itu dari suatu keluarga yang berpendidikan agama semacam ayahnya seorang ustaz ataupun imam masjid tetapi anaknya yang ketiga seolah berbeza dengan yang lainnya. Anak yang pertama seorang ustaz, manakala yang kedua berjaya menjadi mekanik dan Master dalam syariah tetapi anak ketiga bekerja sendiri dan sangat bebas bergaul lelaki perempuan. Sedangkan proses tarbiyyah yang dierikan oleh ayahnya sudah pasti sama, dari penekanan solatnya, juga pengajian Al-Qurannya tetapi bukanlah aneh kerana tarbiyyah itu berproseskan sama namun natijah hasilnya boleh berbeza.

  Kita akan salah jika kita menghukum semua orang yang ditarbiyyah wajib jadi baik seperti kita. Kita juga silap jika kita anggap semua orang yang ditarbiyyah mesti berubah dalam masa yang semacam kita. Ini kerana tarbiyyah itu seni, dan seni itu datang dari kreativiti masing-masing, dan bergantung pada kreativiti seseorang untuk menghidupkan seni dan lebih kreatif andai seni yang dihasilkan itu berbeza antara satu dengan yang lain. Wujudnya nilai keunikan di dalamnya.

Pucuk Tinggi Menjulang Langit


  Jadi janganlah kita hairan jika kita tanamkan biji kacang dibawah kapas basah tetapi yang keluar pucuk hanya biji yang pertama pada hari kedua. Kerana kacang lain akan timbul juga pucuknya, tapi bukan mesti pada masa yang sama.

  Kita bersyukur andai kita Allah tumbuhkan pucuknya awal, dengan harapan kita boleh menjadi motivasi pada 'biji kacang' yang lain agar berpucuk juga seperti kita. Tidak kurang juga bila kita tinggi berpucuk, kita mampu melihat kekurangan kacang lain dan membimbing serta membetulkan mereka sekira-kira semampu yang kita boleh.

  Makanya kita berbalik semula ke konteks Kisas, dalam tempoh masa kita ditarbiyyah di tingkatan 4 sebagaimana yang kita selalu canangkan, bahawa kita ditarbiyyah turun musolla awal, turun dewan makan awal, solat sunat dsbnya maka tidaklah cukup sebenarnya masa mentarbiyyah dengan hanya kurang 10 bulan sahaja. Sedangkan Rasulullah mentarbiyyah sahabat juga 3 tahun sebelum akhirnya cukup kekuatan untuk berdakwah secara terbuka.

  Tidak dapat tidak, jika kita katakan tarbiyyah paling berkesan 3 tahun, maka 2 tahun 2 bulan lagi adalah juga sepatutnya proses tarbiyyah, walaupun tidak lagi dipantau abang-abang, ianya bergantunglah pada diri kita dalam meneruskan perlaksanaan tarbiyyah dan progres tarbiyyah kita.

  Dan pendapat peribadi saya, tidaklah mejadi kesalahan jika kita sendiri mengadakan minggu sunnah untuk diri kita sendiri, minggu ruhiyyah untuk tazkiyatul nafs dan minggu-minggu lain untuk maslahat kita.

  Cukuplah Allah utuskan sahabat kita sebagai asbabul wa'z (أسباب الوعظ) untuk menyedarkan kita akan masa-masa terakhir kita di bumi waqafan ini kita manfaatkan bersama.

  Akhir kalam, jadikan muktamar itu titik muhasabah kita, dan juga titik perubahan ke arah kecemerlangan insha Allah. Semoga Muktamar kita diredhai Allah dan mudah-mudahan sesi pimpinan kami diberkati oleh Nya.

Salam tahniah dan takziah buat sahabat-sahabat pimpinan baharu!

Tanpa Tarbiyyah Gerenti Rebah, Dengan Tarbiyyah Terus Istiqamah :)

2 comment[s] | back to top