Berkenalan dengan Mesir Friday, December 9, 2016
-Posting ini saya tulis lebih kurang sebulan yang lalu tetapi baru hari ini berkesempatan di update-
Alhamdulillah,
pagi ini, 10 November 2016, Allah masih rezekikan saya untuk menyambung
penulisan saya untuk blog ini. Rasanya sudah sekian lama tiada khabar berita
dek kerana disibukkan dengan urusan-urusan dunia yang tiada berkesudahannya.
Dari hari pertama bermusafir ke Mesir sehingga sudah hamper empat bulan
berkelana di sini, terlalu banyak jika ingin dicoretkan segalanya… tetapi
cukuplah untuk digambarkan dengan dua perkataan bahawa; MESIR SERONOK!!!
Daripada
tiba di bumi anbiya ini, dengan debu pasir yang memedihkan mata, sekali sekala
menyesakkan dada untuk bernafas dengan elok sehinggalah ke budaya masyarakat di
sini. Saya menyaksikan segalanya. Saya juga memerhatikan segalanya. Dari
gelagat ‘ustaz-ustazah’ orang Melayu kita sehinggalah kesopan-santunan
saudara-saudari muwafidin (baca: pendatang asing) yang lain, semuanya dengan
berbagai ragam dan rupa.
Sekali
sekala jika kamu berhenti di tepi jalan, berdiri atau duduk melihat gelagat
manusia, kamu akan temui dan rasai ini; kereta-kereta di Mesir memecut laju
berlumba siapa sampai dahulu, tidak cukup ditekannya minyak, ditekannya juga
hon seolah lazim-malzum (baca:melazimi) hon itu dengan tekan minyak. Dalam
kekecohan pekikan hon itu, kamu akan lihat Yusto (pemandu-pemandu)
tremco-tremco (gelaran untuk van awam di Mesir) berebut-rebut memanggil orang
untuk naik bersama mereka. Setengah menjerit dan setengah lagi cuma berdiam dan
mengangkat isyarat tangan; menunjukkan tempat-tempat yang dituju.
Sambil kamu menikmati suasana berdebu dengan angin pusar yang kadang memedihkan hidung dan tekak kamu, kamu akan disajikan pula dengan pejalan-pejalan kaki daripada orang arab Mesir. Setengah mereka, berjubah dan berpurdah, setengah lagi memakai kot kemas dan yang perempuan bertudung lilit sekadar syarat berjalan menuju matlamat yang dituju. Terkadang kamu akan melihat ammu (baca: pakcik) menjunjung satu alas kayu ala-ala pengangkat orang sakit tetapi bukan pesakit di atasnya, cumalah roti yang dipanggil I’sy di sini. I’sy yang menjadi makanan ruji rakyat Mesir ini boleh didapati di mana-mana dengan harga 4 roti ini dibeli dengan satu genih duit Mesir (satu genih= 0.50 sen lebih kurang). Kamu kemudiannya akan melihat di sisi jalan, kedai-kedai kopi yang dipenuhi ammu-ammu dan hag-hag (baca: haji (orang tua)) arab. Kedai-kedai kopi tempat melepak orang arab ini seakan kedai mamak di Malaysia dengan perbezaan tiada mamak di dalamnya dan orang tidak minum melainkan kopi dan syai (teh) sambal menyedut syish (baca: syisya) arab yang baunya sangat busuk dan kurang menyelerakan.
Di satu
sudut lain pula kelihatan sebuah kedai bergantungan buah-buahan di depannya,
setengahnya buahan yang kelihatan hampir rosak kerana tidak disimpan di dalam
perut (makan). Kedai Asir (baca: Kedai jus buah-buahan). Kedai ini lah yang
menghimpunkan semua hati-hati manusia. Kedai yang pada malam hari menjadi
tumpuan para wafidin untuk berehat selepas sehari yang memenatkan kononya.
Dengan pilihan asir (baca: jus) yang pelbagai, rasa jus ini mampu mengubat
lenguh sengal otot-otot yang menegang semasa berebut atau berlari untuk
mengejar bas. Pusat jalinan ukhwah bagi kebanyakkan wafidin. Terkadang duduk
sambil berbincang masalah ummat, terkadang duduk bersembang setelah lama tidak
berjumpa dan macam-macam lagi sebab kenapa dinamakan ia pusat jalinan ukhwah
bagi kami. Bahkan saya kira, ubat paling mujarab untuk ukhwah adalah duduk dan
minum di kedai asir :D
Inilah
gambaran am kehidupan di Mesir, bahkan apa yang saya gambarkan ini mungkin
tidak sampai 10% daripada realiti gambaran keseronokkan di Bumi Anbiya ini. Ini
baru dijalanan, belum lagi di masjid-masjid, maqam-maqam para nabi-nabi dan
wali-wali Allah, tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat pelancongan,
kelas-kelas pengajian yang berpuluh kali ganda lebih menarik dari yang saya sebutkan
sebelum ini.
Mesir
yang terkenal dengan Negeri Seribu Menara, sememangnya sangat banyak menara
serupa menara azan masjid itu. Berkubah bulat, ditandakan hujungnya dengan
ukiran bulan. Tinggi mencakar langit biru tanpa awan di Bumi ini. Masjid-masjid
di Mesir sangat banyak, hanya berjalan tidak kurang 200m kamu akan temui masjid
lain. Mungkin kerana kepadatan penduduk yang ramai di Kaherah ini menyebabkan
masjidnya banyak dan dekat-dekat jaraknya. Dan hampir kesemua bangunan disini
berwarna coklat-kelam, pudar, tetapi kaya dengan ukiran yang sangat terperinci
dan halus. Dan itulah keistimewaan penduduk negara ini.
Maqam-maqam
para anbiya dan awliya (baca: nabi-nabi dan wali-wali Allah) pula sangat banyak
di negara ini. Bahkan belum sampai kaki ini ke semua maqam-maqam ini. Terkadang
didirikan maqam di dalam masjid, terkadang di kawasan perkuburan Mesir yang
juga ajib, kuburannya berbangunan seperti rumah yang juga dikatakan orang-orang
miskin yang tidak mampu membeli rumah tinggal di dalam kubur-kubur ini. Cuma
sedikit sayang, maqam-maqam para anbiya dan awliya ini seolah tiada apa-apa.
Seolah sekadar maqam, bahkan ada maqam yang kotor kerana tidak dihormati oleh
masyrakat Mesir.
Yang paling menarik dan menambat hati saya di bumi Anbiya ini adalah majlis-majlis ilmu. Ianya berjaya menambat hati saya seawal tibanya saya di sini. Kelas-kelas pengajian yang sangat banyak bahkan selalunya terdapat dua atau tiga kelas, di tempat-tempat pengajian yang berlainan, pada waktu yang sama. Sangat menarik! Masyaikh dan para ulama yang sangat alim dalam ilmu mereka, juga sangat tawadhuk dan wara dalam muamalah (baca: pergaulan) mereka, sangat membenarkan apa yang saya baca dan dengar sebelum tibanya saya di sini. Masyaikh-masyaikh yang terkadang mengajar tanpa kitab; yang membuktikan ilmu itu sudah menjadi sebahagian dari mereka! mengajar dengan penuh tenang dengan gaya dan cara masing-masing. Setengah mereka menggunakan bahasa arab fushah (baca: bahasa arab rasmi) dan setengah yang lain pula menggunakan lahjah ammiyyah (baca: dialeg bahasa pasar mesir) yang agak sukar bagi sesiapapun pada mulanya.
Masyaikh
di sini mengajar di merata-rata pusat-pusat pengajian, ada yang mengajar di
lebih dari empat tempat satu hari. Antara tempat pengajian yang masyhur di
Mesir ini adalah Ruwaq-ruwaq di Masjid Al-Azhar sendiri yang menjadi tonggak
keilmuan di Mesir ini, selain itu madhyafah-madhyafah kecil seperti Madhyafah
Syeikh Ismail Al-Adawi, Madhyafah Syeikh Imran Dah, Madhyafah Syeikh Ali Jumuah
dan lain-lain madhyafah. Selain itu sahah-sahah ilmu juga antara tempat-tempat
pengajian yang menarik di Bumi Mesir ini. Antaranya Sahah Al-Yamani, Sahah
Indonesi dan lain-lain. Selain itu usaha-usaha dari mahasiswa Al-Azhar sendiri
menubuhkan pusat-pusat pengajian dan menjemput masyaikh ke tempat-tempat
khusus, antaranya Ruwaq Jawi, hasil usaha abang-abang dari Malaysia, Ruwaq
Sinni, yang ditubuhkan untuk orang cina, dan lain-lain usaha untuk melahirkan
ulama yang mumpun dengan manhaj Al-Azhar yang terkenal sejak sekian lama akan tradisi
keilmuannya.
Tidak
sempurna jika disebutkan budaya ilmu di Mesir ini tanpa disebut
maktabah-maktabah (baca: kedai-kedai buku) yang merata di Mesir ini. Sebut
sahaja kitab apa yang masyhur yang kamu kenal, kamu -insha Allah- akan temuinya
dengan toba’ (baca:cetakan) yang pelbagai. Maktabah yang menawarkan kitab-kitab
thurath (baca:klasik) para ulama-ulama agung dahulu kala. Maktabah yang juga
menghimpunkan ratusan naskah kitab-kitab, daripada tadris (baca: kitab belajar)
sampai pada kitab mutholaah (baca: kitab bacaan) dan rujukan, semuanya boleh
didapati dengan harga yang murah, jauh berbeza berbanding harganya di Malaysia.
Budaya
ilmu di Mesir ini yang buat saya jatuh cinta pandang pertama, kedua, ketiga dan
keberapa kalinya pun pada bumi Mesir ini. Ilmu, Kitab, Ulama, Muhadhoroh,
Daurah, Kelas-kelas pengajian, semuanya Berjaya mengambil hati saya untuk
melihat bumi mesir ini pada warna pelangi yang cerah dan cantik, keluar
daripada kegelapan dan kehodohan yang diceritakan oleh mulut-mulut dusta yang
tidak pernah melihat keindahan dunia ilmu ini.
Sedikit
yang dapat saya kongsi dan bakinya kamu perlu hadirkan diri kamu ke sini dan
lihat dengan ain zhohir kamu sendiri. Kemudian dari itu kamu akan melihat pula
kecantikkan ilmu dengan ain qalbi kamu. Insha Allah. Saya sangat berharap agar
budaya ilmu di Mesir ini saya dapat bawa balik ke Malaysia dengan bantuan
sahabat-sahabat seperjuangan. Jauh lagi jalannya nak ke situ, perjalanan masih
panjang, tetapi saya mohon doa daripada semua, buat saya dan teman-teman
seperjuangan, agar terus istiqamah dan konsisten dengan matlamat dan niat kami
di sini. Dan mudahan kami disimpangkan dari segala bala dan musibah, dan
mudahan juga kami dijauhkan daripada malas dan lari dari matlamat dan niat asal
kami di sini. Mohon doa semua J
Akhir
kalam, semoga ini bukan perkongsian terakhir dan mudahan saya ada dimudahkan
untuk menulis lagi untuk kali yang seterusnya. Allahumma Amin.
9.57 pagi,
10 November 2016
Darrasah,
Kaherah, Mesir.
0 comment[s] | back to top |
بسم الله االرحمان الرحيم
الفقير الى ربه الاعلى الخادم لطالب العلم