ENTRY ABOUT FACEBOOK INSTAGRAM ASK YOUTUBE +FOLLOW

Azahirah, Pembacaan, Dakwah dan Malaysia
Tuesday, March 27, 2018


Sudah lebih sebulan saya pulang daripada Malaysia kembali semula ke Mesir, terasa ingin mencoret sesuatu di ruangan ini tetapi kesibukan yang luar biasa mengasak diri untuk tidak berbuat demikian. Tidak berapa pasti adakah ianya 'acah sibuk' atau ianya memang sibuk tetapi yang pasti adalah saya bukan sahaja tidak menulis di sini, bahkan laptop ini tidak disentuh melainkan hanya untuk khidmat poster untuk Fadhilatus Syeikh Sayyid Syaltut sahaja!

Saya tidak pasti apa kesibukan yang menghimpit ini datang dari mana arahnya. Kerana jika ingin dikatakan sibuk, saya pasti keadaan diri sekarang ini tidak layak memegang gelaran 'sibuk' kerana saya masih punya masa tidur, masa makan, masa bergelak tawa dan bergurau senda. Entahlah. Mungkin ianya adalah kerana pengurusan masa yang kurang berkesan yang datang daripada kelemahan diri saya mengurus masa.

Oleh kerana sudah lama tidak menulis, kekejangan jari jemari ini untuk menyentuh laju papan kekunci ini masih terasa, kotak pemikiran tidak begitu bersedia untuk mengulas tajuk yang berat dan besar mahupun untuk mengalirkan segala perasaan yang terbuku di hati. Jadi saya memohon maaf sekiranya tulisan tidak begitu menarik hati. Ini cuma coretan kerana hati suruh tulis.

Jujurnya saya ingin ceritakan segala apa yang terjadi di Malaysia, daripada sebelum balik ke Malaysia, di Malaysia, sampai balik ke sini. Tetapi ianya panjang dan memenatkan saya dan pembaca sendiri (kalau ada yang baca lah...), maka saya pilih untuk mencoret perkara-perkara penting dan pengalaman-pengalaman penting yang sempat saya kutip dan tadah di Malaysia sepanjang dua bulan lebih saya di Malaysia.

Di Malaysia

Tidak banyak yang saya sempat buat dan lakukan di Malaysia, dan tidak banyak juga perancangan asal saya menepati apa yang saya rancangkan.

Kajian Pertama

Antara perkara yang saya rancang dari awal sebelum saya pulang ke Malaysia lagi adalah untuk membaca buku.

Perancangan ini bukan sekadar perancangan kosong, bahkan saya bawa lebih daripada 15 judul kitab yang saya ingin baca dan ulangkaji,balik ke rumah.

Sayang sekali, daripada 15 judul itu, kurang dari lima yang saya berjaya habiskan. Sedih juga. Berat kitab-kitab ini sahaja lebih 20kg, tetapi hasilnya sedikit menyedihkan.

Berdasarkan pada ujian di atas ini, saya fahami beberapa perkara yang boleh saya simpulkan seperti berikut:

Walaupun masa lapang lebih banyak (memang banyak) untuk didapati di Malaysia, tetapi ianya lebih sukar untuk dimanfaatkan terutamanya dalam bahagian pembacaan.
Ianya sedikit berbeza dengan Mesir, di mana walaupun masa lapang sukar sedikit untuk dicari, tetapi ianya lebih mudah untuk dimanfaatkan terutamanya untuk membaca.

Mungkin itu keputusan peribadi saya dan berbeza dengan orang lain, tapi saya faham dah lepasni tak boleh bawak kitab banyak dah kalau balik Malaysia lagi...


Kajian Kedua

Kedua, saya juga sempat membuat beberapa tinjauan sepanjang saya di Malaysia, ke kedai-kedai buku besar seperti MPH Bookstore, Popular, Kinokuniya dan lain-lain. Begitu juga saya sempat ke kedai buku-buku Islam seperti Wisma Yakin. Antara perkara yang saya perhatikan adalah berlegar dalam tiga perkara di bawah:

1) Bahan bacaan jenis apa yang terdapat di dalam kawasan bacaan agama di kedai-kedai buku besar seperti MPH dan lain-lain.

2) Jenis buku apa yang diminati oleh masyarakat kita.

3) Karya-karya terjemahan dari bahasa arab apakah yang terdapat di kedai-kedai buku tersebut.

- Untuk perkara yang pertama, Saya temui beberapa jenis bacaan berunsur agama yang boleh saya simpulkan dalam enam kelas di bawah:

1. Motivasi
2. Tarbiah/Dakwah
3. Fiqh/Tasawuf/Aqidah
4. Hadis/Tafsir
5. Sirah/Tarjamah Tokoh-Tokoh
6. Lain-lain

Daripada keenam-enam kelas ini,saya dapati yang mempelopori kedai-kedai buku besar seperti MPH dan lain-lain adalah kelas 1 dan 2. Buku-buku motivasi, tarbiah dan dakwah ini boleh saya katakan hampir setiap kali saya ke kedai-kedai buku ini, saya dapati adanya buku baru yang dicetak daripada dua bahagian ini.

Seterusnya, rak-rak buku agama dipenuhi dengan buku-buku sirah dan tarjamah tokoh-tokoh perorangan, sama ada buku sejarah inividu tertentu sepeti buku Abdul Latip Talib, ataupun sejarah-sejarah kaum atau perkara tertentu seperti Yakjuj Makjuj, Dajjal, Freemason dan lain-lain. Saya kurang pasti adakah ini termasuk dalam bahagian buku-buku agama tetapi saya sertakan disini kerana kewujudan mereka dicelahan buku-buku yang diletakkan di rak buku 'Rujukan Agama'.

Mengiringi yang ini, yang mungkin hampir 30% daripada buku-buku di bahagian buku agama adalah buku-buku berkaitan Fiqh, Aqidah dan Tasawuf. Buku-buku seperti A-Z Solat, Panduan mengerjakan Haji, QnA Solat, Ensiklopedia Solat dan lain-lain duduk di dalam lingkungan 30 peratus ini di kedai-kedai buku besar.

Seterusnya buku-buku hadis dan tafsir yang berlegar seperti terjemahan kitab tertentu seperti Bulughul Maram, Adabul Mufrad, buku-buku Dr. Rozaimi, QnA Hadis, Tafsir Al-Azhar oleh Hamka ini bilangannya sangat sedikit dan tidak mencapai 10% daripada jenis-jenis buku Rujukan Agama di kedai-kedai buku besar ini.

Yang terakhir adalah bahagian buku-buku yang terkeluar daripada bahagian-bahagian umum di atas, antaranya buku berkaitan Isu Semasa: Syria, Palestin dan lain-lain, juga buku-buku seperti Bidaah atau menjawab masalah khilafiyyah tertentu, buku-buku yang berbentuk kritikan pada masyarakat ataupun novel-novel berbaur Islamik yang juga mengambil peratusan yang banyak di rak-rak buku Rujukan Agama.

- Bagi yang kedua, saya dapati (berdasarkan pemerhatian saya) -wallahua'lam- buku-buku yang diminati oleh masyarakat adalah buku dibahagian pertama yang saya katakan di atas, iaitu buku-buku berkaitan dakwah dan tarbiyah.

Kesimpulan ini bukanlah kesimpulan yang membakulkan bahawa semua rakyat Malaysia meminati buku-buku dari genre ini, tetapi kesimpulan ini saya datangkan daripada tinjauan saya pada buku-buku yang memenangi best-seller dan menduduki tangga yang tinggi dalam carta bahan bacaan bahasa melayu daripada genre buku-buku agama.

Contohnya buku-buku keluaran Tarbiah Sentap, Inspirasee (Aiman Banna), Budak Tomato, Teme dan lain-lain, buku-buku ini selalunya memenangi carta buku-buku best-seller.

Ya, memang boleh kita katakan ianya sebab buku-buku ini mensasarkan remaja dan yang banyak membeli buku juga adalah golongan remaja, atau ianya dipromosikan secara meluas di dalam laman-laman sosial berbanding buku-buku yang lain, tetapi fakta ianya dibeli dengan sangat banyak dan mendapat sambutan tidak dapat disangkal.

- Dan untuk yang ketiga, iaitu buku-buku bahasa arab yang diterjemahkan ke bahasa melayu, saya tidak masukkan buku-buku terjemahan ke bahasa indonesia di dalam pemerhatian ini kerana ianya bukan bahasa ibunda kita walaupun ia mirip bahasa kita (Bahasa Melayu), tambahan terjemahannya bukanlah hasil titik peluh anak Melayu kita.

Begitu juga saya tidak sertakan kedai buku Islam seperti Wisma Yakin dalam senarai kedai buku kerana ianya bukanlah menjadi kedai buku pilihan utama masyarakat dan ianya juga sukar untuk sampai dan tidak diketahui ramai.

Untuk bahagian ini saya akan coretkannya di dalam post yang berasingan selepas ini kerana ianya akan saya lampirkan dengan gambar.

Cuma sedikit kesimpulan yang boleh saya nyatakan secara umumnya disini adalah tidak banyak terjemahan kitab arab kedalam bahasa melayu yang boleh didapati di kedai-kedai buku besar.

Bahkan saya melihat budaya buku-buku terjemahan di kedai-kedai buku besar cenderung pada karya tokoh-tokoh tertentu semisal Syeikh Yusuf al-Qardhawi begitu juga syarikat-syarikat besar yang mencetak buku-buku agama juga mempunyai kecenderungan yang sama.

Lebih aneh, terdapat sehingga lebih daripada tiga naskah kitab terjemahan dari syarikat berlainan yang menterjemah judul buku yang sama!

***

Berdasarkan daripada pemerhatian saya di atas, dapat saya simpulkan bahawa:

a) Rakyat Malaysia masih lagi kurang dan sangat lemah dalam budaya membaca.

Dan ini disokong kuat oleh satu posting yang saya baca di Facebook yang merekodkan bahawa gedung-gedung buku besar seperti MPH dan selainnya hari ini sudah menukar nisbah barangan di kedai mereka.

Menurut sumber ini, sebelum ini gedung-gendung buku ini meletakkan nisbah 5:5 iaitu 50% buku dan 50% yang lain adalah barang selain buku (saguhati, alat tulis dan lain-lain). Untuk beberapa masa yang terdekat ini, nisbahnya berubah menjadi 3:7 iaitu 30% buku dan 70% selain buku.

Dan perkara ini saya saksikan sendiri ketika saya ke kedai-kedai buku ini. Memang saya dapati barangan selain dari buku lebih banyak berbanding buku.

Oleh itu wawasan membaca buku ini dan budaya membaca ini adalah apa yang patut difikirkan oleh sahabat-sahabat pembaca terutama para Azahirah sekalian.


b) Selain itu, saya juga dapat simpulkan bahawa sasaran membaca dan pembaca dan pembeli adalah dari kalangan remaja. Walaupun saya yakin, ada sahaja daripada mereka ini pembeli tetapi bukan pembaca tetapi semangat membeli dan membaca itu dipelopori generasi kita dan itu adalah berita baik untuk kita semua.


c) Begitu juga, dapat saya simpulkan dari dapatan pemerhatian saya bahawa buku terjemahan daripada bahasa arab ke bahasa melayu adalah tersangat sedikit sedangkan kita sebagai Azhariy sendiri maklum bahawa buku-buku tulisan para ulama kita bahkan turath-turath para ulama ini harganya sangat tinggi dan bernilai.

Dan ianya sangatlah menggembirakan andainya tamadun ilmu yang kita lihat dari Al-Azhar dan penulisan para masyaikhnya ini dapat kita bawa dan terjemahkan dalam bahasa ibunda kita agar dapat dikenali bersama.

Idea-idea mereka yang menunjukkan keagungan Islam dan rahmatnya pada sekalian alam ini sepatutnya menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkannya dan salah satu cara penyebaran yang akan berkekalan adalah dengan menterjemahnya menjadi sebuah buku dalam bahasa kita.

Demi menyedari kepentingan itu saya menyeru rakan-rakan Azahirah agar memberikan perhatian pada bidang terjemahan ini dan mula untuk menjadikan terjemahan sebahagian daripada rutin harian kita.

Kajian Ketiga

Perkara ketiga yang sempat saya perhatikan di Malaysia adalah kehilangan Azahirah di mata masyarakat.

Sebelum saya huraikannya dengan lebih lanjut, ingin saya nyatakan bahawa dengan kurangnya para Azhariy bermakna umat sesat atau ustaz dan ustazah selain Azhar adalah tidak benar, bukan itu yang saya maksudkan.

Tetapi ini sekadar sisi pandang yang Allah bentangkan pada saya dan saya berasa terpanggil untuk coretkannya disini dengan harapan ianya juga membuka sedikit sebanyak benak pemikiran sahabat Azahirah dan memberi sekilas pandang terhadap realiti Malaysia dan lapangan dakwah yang ada di Malaysia hari ini.

Sekadar pemerhatian saya yang singkat dan tidak menyeluruh, saya dapati dakwah di Malaysia semakin pesat dan menyeluruh.

Dakwah yang saya maksudkan di sini secara khusunya dapat dilihat dalam penerimaan masyarakat dan perkembangan masyarakat dengan ilmu.

Antara bidang ilmu yang saya lihat banyak terkesan dengan perkembangan ilmu dalam masyarakat kita ialah bidang hadis.

Kalau dahulu masyarakat tidak memandang pada ilmu hadis, hari ini ilmu hadis tidak kurang pentingnya dan dibincangkan oleh orang awam, walaupun masih ada yang tidak tahu menahu langsung, tetapi masyarakat sudah mula mengenali istilah-istilah seperti dhaif, lemah, palsu, tiada asal, sahih, hasan dan lain-lain.

Kitab-kitab hadis seperti Sahih Bukhari, Riyadus Solihin, Arbain an-Nawawi, Bulughul Maram dan kitab-kitab hadis yang lain seumpamanya sudah mula diajarkan secara aktif di dalam masyarakat, bahkan masjid-masjid sudah mula memuatkan subjek hadis dalam jadual mereka dan ini merupakan suatu perkembangan yang baik di dalam masyarakat kita.

Begitu juga majlis-majlis maulid dan cinta nabi yang dipelopori para habaib juga mendapat sambutan yang sangat baik.

Saya teringat semasa saya di Melaka, Daurah di Baitul Qurra, kami direzekikan untuk ke suatu majlis maulid anjuran sebuah pusat tahfiz yang mana guru kami, Ustaz Zulkifli Ismail dijemput untuk memberikan tausiyah dalam majlis tersebut.

Saya terkejut apabila hadirin yang hadir termasuk pelajar tahfiz pada malam itu hampir 300 orang. Sehingga karpet yang dibentangkan sudah penuh dan hadirin terpaksa berdiri.

Antara para ulama yang hadir ialah wakil Majelis Rasulillah Indonesia, Habib Noh dan para habaib yang lainnya. Bahkan majlis ini diadakan di kawasan yang agak kedalam dan jauh dari jalan raya, tetapi sambutannya mengejutkan.

Ini tidak boleh untuk menghukum semua majlis cinta nabi tetapi saya yakin penerimaan masyarakat kepada majlis-majlis seperti ini semakin meningkat walaupun halangan sentiasa dihadapi, bukti dakwah yang dilakukan para asatizah sebelum kita berbuah dan ada hasilnya.

Dengan perkembangan dan penerimaan pesat masyarakat pada dakwah dan ilmu ini, sedikit persoalan yang mengganggu saya, yang bermain-main di kotak fikiran saya... bahawa dalam sekalian banyak tokoh-tokoh muda yang mula mengukir nama dalam bidang dakwah dan mula dikenali sebagai ilmuwan, ada diantara mereka pula yang berjaya menghabiskan PhD dan MA, saya seperti tercari-cari dimana perginya dari kalangan mereka ini yang merupakan graduan Al-Azhar dahulu.

Seolah Al-Azhar tidak dapat dilihat melainkan beberapa orang tokoh-tokoh muda seperti Ustaz Abdul Somad, Ustaz Nazrul, Ustaz Syed, Ustaz Khafidz Soroni, Ustaz Fawwaz dan lain-lain yang bilangannya sedikit jika hendak dibandingkan dengan populasi pelajar Malaysia di Mesir yang dominannya dikuasai oleh pelajar pengajian Islam dalam bidang masing-masing.

Kenapa?

Tanda tanya besar yang tidak perlu salah menyalah tetapi memerlukan muhasabah oleh para sahabat Azhahirah sekalian.

Ya, saya tidak menghukum semua kerana kita ada sahaja Azhariy yang sibuk mengislah masyarakat secara perlahan dari bawah, mahupun Azhariy yang berusaha keras mengislah masyarakat dan menggagaskan ilmu dalam jiwa masyarakat tetapi tidak dimasyhurkan, kerana kemasyhuran itu bukan matlamat utama, bahkan ianya pilihan Allah. Barakallahu lakum jamian atas usaha yang sangat besar pahalanya di sisi Tuhan, Insha Allah.

Ya itu benar. Tidak saya nafikan...

Tetapi saya cuba untuk mengajak sahabat pembaca terutamanya yang di generasi saya untuk berfikir sejenak, apakah situasi yang sama yang akan berlaku pada generasi kitaa pula sepuluh tahun akan datang dalam perkembangan ilmu yang sangat pesat di bumi Mesir dan Al-Azhar hari ini...

Bukankah sepatutnya kita menjadi lebih baik dan menyambung perjuangan orang-orang sebelum kita dengan pembaharuan dan cara yang lebih baik?

Sedang kita sendiri tahu dan faham betapa besar dan agungnya manhaj al-Azhar dan peranannya sebagai kiblat ilmu dunia Islam.

Begitu juga kita faham betapa indahnya wawasan dan pengamalan Islam yang dibawa Al-Azhar, betapa wasatiyyahnya Al-Azhar dalam pengurusan fatwa dan agamanya.

Betapa bersistemnya Al-Azhar dalam membawa agama sebagai rahmat dan penyelesaian kepada kekusutan masyarakat dan dunia.

Kita juga sudah merasai kepayahan dan kesusahan silibus dan ilmu yang diajarkan di Al-Azhar samada di Universiti ataupun di kelas luar selainnya, betapa Al-Azhar menekankan tahqiq, tadqiq dan turath untuk membawa masyarakat kehadapan.

Penutup

Di sini saya pelajari bahawa sebenarnya masih banyak lagi ruang dan peluang untuk para Azahirah berkhidmat di Malaysia, dan berdasarkan pemerhatian saya yang lemah ini, saya melihat betapa tiada masa dan ruang untuk dibazirkan oleh seorang Azhariy.

Minimum waktu yang ada pada mereka adalah empat tahun yang pastinya tidak cukup untuk melahirkan seorang alim secara adatnya, tetapi cukup untuk menyediakan tapak asas sebelum terjun ke lapangan yang terbentang bukan dengan permaidani merah di Malaysia kelak.

Oleh itu saya simpulkan posting saya yang ini dengan pesanan pada diri saya dan sahabat-sahabat pembaca terutamanya para Azahirah untuk menghargai setiap masa kita di dunia ini, terutama masa kita di bumi Mesir kerana ia sekiranya tidak dihargai sekarang, akan ditangisi akan datang.

Kerana masa itu lebih berharga daripada emas mahupun dunia.


Mencoret sambil ayam berkokok,
4:02 pagi,
28 Mac 2018,
Beit Mudhoyafah Azhariyy,
Batiniyya,
Kaherah,
Mesir.


1 comment[s] | back to top